Aktiviti untuk Melatih Koordinasi Otak
Sebagai ibu bapa, ia merupakan impian kita untuk melihat si manja membesar menjadi insan yang berguna dan berjaya. Didikan dan ajaran anda akan menjadi acuan masa depan mereka. Salah satu cara anda membantu mereka adalah dengan latihan koordinasi otak.
Latihan koordinasi ini dapat mengoptimumkan penggunaan kedua-dua belah otak melalui aktiviti-aktiviti yang betul. Otak kiri berfungsi mengendalikan matematik dan logik manakala otak kanak mengawal emosi, percakapan dan kreativiti. Kajian mendapati keseimbangan kedua-duanya menjadikan individu yang lebih fokus, mudah memahami sesuatu perkara, berkeyakinan dan memiliki kesedaran tinggi.
Aktiviti-aktiviti yang merangsang koordinasi otak adalah sangat mudah dan selalu dilakukan. Berjalan, berlari, berenang dan merangkak adalah aktiviti yang membantu kanak-kanak menggunakan kedua-dua bahagian tubuh badannya dan pada masa yang sama perbuatan tersebut mengaktifkan fungsi ‘corak bersilang’.
Aktiviti lain yang boleh diamalkan adalah bermain dram kerana ia bukan sahaja melatih kedua-dua otak malah turut melatih penggunaan kaki dan tangan secara bersilang.
Latihan penggunaan tangan juga merupakan cara terbaik untuk koordinasi otak. Jika anak anda lebih banyak menggunakan tangan kanan, biasakannya untuk gunakan tangan kiri juga. Latih anak anda melukis, menulis dan menangkap barang menggunakan tangan kiri. Hanya beberapa minit sehari dapat memberikan impak yang signifikan kepada perkembangan otak si manja anda.