Rangsang Potensi Otak Kanan Si Manja
Sesetengah kanak-kanak dikurniakan imaginasi serta kreativiti yang lebih hebat dari rakan sebayanya yang lain. Kanak-kanak tersebut kebiasaannya mudah dan cepat mentafsir sesuatu secara visual. Jika si manja anda adalah dari golongan ini, mereka mempunyai berkebolehan untuk mengingati laluan pulang ke rumah dengan cepat, lebih gemar melukis dan membina rumah dari mainan blok kayu tanpa berpandukan sebarang rujukan.
Golongan ini lebih cenderung dengan penggunaan otak kanan yang lebih dominan. Si manja lebih cemerlang di dalam bidang seni dan lebih mudah memahami sesuatu melalui eksperimen nyata. Dari segi perbualan, si manja lekas bosan dengan perbualan yang panjang . Fahami gaya pembelajaran anak anda untuk merangsang penggunaan otak kanannya.
Hebatkan lagi kepintaran visual anak anda
Gilap bakat dan rangsang perkembangan si manja dengan memberikan stimulasi yang betul. Latih dia bermain permainan interaktif yang mencabar minda. Beri tugasan yang boleh menajamkan kebolehan seperti melukis peta perjalanan dari rumah ke kedai runcit ataupun lukisan-lukisan menarik. Tanyakan si manja soalan-soalan. Anda akan dapati jawapan yang mengejutkan dewasa keluar dari mulutnya.
Sediakan sumber-sumber yang menarik untuk si manja. Jika anak orang lain menggunakan buku teks untuk menyiapkan latihan, anak anda boleh gunakan kamus, ensiklopedia, majalah ataupun internet. Beri bantuan sekiranya dia perlukannya. Beri si manja peluang untuk membuat keputusan agar dia rasa berkeyakinan dan bersedia menyahut cabaran yang lebih pada masa kelak.