Si Manja yang Kidal
Dominasi penggunaan tangan kanak-kanak akan dapat dilihat kecenderungannya selaras dengan perkembangan kemahiran motor si manja. Ramai ibu bapa bimbang sekiranya memiliki anak ‘kidal’ dan dianggap aneh di kalangan jutaan manusia yang dominan tangan kanan. Hanya terdapat 10% daripada populasi dunia adalah dari golongan tersebut.
Anak kidal bukannya berbeza tetapi unik. Usah bimbang kerana kidal tidak menjadikan si manja kurang pintar berbanding orang lain. Pada dasarnya, ramai orang percaya bahawa orang kidal lebih bijak berbanding golongan dominan tangan kanan. Ramai atlit terkenal adalah kidal. Albert Einstein juga termasuk di dalam golongan ini.
Sebelum anak anda boleh menjadi saintis hebat, dia memerlukan sedikit tunjuk ajar daripada anda.
Bimbing anak kidal
Dengan kesabaran dan tunjuk ajar, anda boleh membantu anak anda mengatasi kesukaran yang dihadapinya. Menulis, berenang dan menggunting merupakan aktiviti untuk membiasakannya menggunakan tangan kiri.
Menulis
Menulis dengan tangan kiri mempunyai sedikit perbezaan dengan menulis menggunakan tangan kanan di mana pensil akan ditolak berbanding ditarik. Keadaan ini membuat penulis berasa kekok. Gunakan cara berikut untuk memudahkan si manja:
- Pusingkan kertas 45 darjah mengikut arah jam untuk mengelakkan tapak tangan mengotorkan kertas
- Pegang pensil di antara ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu.
- Sediakan meja landai untuk memudahkan menulis.
- Elakkan halangan dan gunakan pad lingkaran.
Melukis
Latih anak melukis dari kanan ke kiri untuk mengelakkan lukisan menjadi comot. Jika melukis di dalam kumpulan, pastikan anak anda berada di bahagian paling kiri untuk mengelakkan berlaga siku.
Menggunting
Sediakan gunting untuk tangan kiri. Untuk kemudahannya, lukiskan garis-garis lurus dan latih anak anda untuk memotong mengikut garisan tersebut bagi mendapatkan potongan lurus. Berlatih selalu sehingga menjadi mahir.