Detik manis pencapaian tumbesaran si manja yang berusia 6 tahun
Si manja akan mula membentuk ikatan sosial, membina kemahiran, dan membesar dari segi mental juga emosi semasa tahun-tahun awal persekolahan. Ini juga adalah tempoh yang baik untuk dia meneroka dan berdikari, bila-dia mula mengetahui apa yang disukai dan cuba lebih menonjolkan dirinya.
Berikut adalah detik-detik manis pencapaian yang boleh anda harapkan apabila si manja mencapai usia 6 tahun:
Kemahiran motor
Si manja anda mungkin masih kelihatan sedikit kekok, tetapi inilah usia di mana kemahiran motornya sedang berkembang dan adalah masa yang baik untuk mengajarnya bagaimana untuk menunggang basikal. Dia juga kini boleh mengikut rentak muzik, dan ini membuka peluang baru untuk anda meneroka aktiviti menyeronokkan untuk dinikmati bersama-sama.
Kemahiran berfikir
Di usia ini, si manja akan mula berinteraksi dengan dunia dan orang ramai melalui bahasa dan logik, dan bukan sahaja melalui pemerhatiannya. Ini bermakna, dia akan mula berfikir secara abstrak dan memperkembangan kemahiran berfikirnya. Bergantung pada situasi, dia mungkin memerlukan bimbingan anda untuk memahami mengapa dia tidak boleh memiliki atau melakukan sesuatu. Anda boleh membantu dia untuk berfikir tentang akibat tindakannya dan biar dia ketahui sendiri sama ada tindakannya itu betul atau salah.
Perkembangan sosial dan emosi
Apabila si manja mula membina persahabatan, anda haruslah mengambil kira segala perkara yang mungkin berlaku. Walaupun dia semakin berdikari, dia juga berasa kurang selamat dan memerlukan kasih sayang serta restu daripada anda dan gurunya. Persahabatan yang patah mungkin menyebabkan si manja berasa sedih atau kekeliruan, dan pengaruh rakan sebaya akan mula dialami.
Tempoh ini memang mencabar, tetapi dengan ketekunan, kasih sayang dan bimbingan, ia mungkin menjadi satu fasa mengujakan yang bakal membentuk hidupnya.